Imam
Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah
Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul
Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf.
Keturunan beliau
bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang
ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah
Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan
bonda beliau ialah di Kota Makkah.
Imam Syafie lahir di Palestin kerana
ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di
dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia,
sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua
tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.
Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun
telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama
kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi
hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.
Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi
fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith
serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.
Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di
Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke
Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu
pengetahuan.
Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa
setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga
malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga,
sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.
Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan
penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana.
Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku
jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.
Ahli
sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang
marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk
meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah
kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu
di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.
Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang
ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah
ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para
pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan
dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam
Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie
termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.
Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke
Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu
itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman)
sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua
bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan
darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan
mereka.
Pada
suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke
dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat,
mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah
yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan
kulit binatang yang diberi nama dengan natha’.
Imam
Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan
kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan.
Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan
merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam
Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.
“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
“Wa
alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda
bertanya:
“Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak
diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam
majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”
Imam
Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana
rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar
kata-kata itu hati baginda jadi lembut.
Kemudian Imam Syafie membaca
surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:
“Dan
Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan
mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan
menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan
orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan
meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan
Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada
dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah
Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi
khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.”
Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya
kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk
menolak tuduhan atas dirimu.”
“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya
masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan
menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal
untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.
Setelah
rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam
Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:
“Hai
orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa
suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan
suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang
menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu
adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan
bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah
putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama
menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana
saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi
Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah
Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga
Rasulullah.”
Demikian jawab Imam Syafie.
Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata
kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah
perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan
menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”
Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak
lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti
akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan
serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai
suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.
Ayat last tu best.
BalasPadam